Amat Sukar Ubah Tabiat Makan

Saya lihat semakin ramai wanita malaysia yang obes dan trend ini dijangka akan terus meningkat. Kita terlalu mewah dengan makanan tetapi malangnya tidak seimbang dalam khasiat dan kandungan zat makanan. Terlalu tinggi  kandungan karbohidrat dan gula dalam diet harian kita : nasi, roti canai, mee , kuih-muih, kentang goreng, donut, aiskrim dan lain-lain.

Peluang makan berlebihan sentiasa ujud di sekitar dengan adanya majlis-majlis perkahwinan, aqiqah, kenduri arwah, majlis hari jadi, hari raya open house dan bermacam-macam lagi. Situasi menjadi lebih menjadi kebih runcing bila hidangan yang berbagai-bagai juadah disajikan sebagai buffet. Orang ramai mengambil makanan terlalu berlebihan seolah-oldah tidak makan seminggu. Akhirnya dia gagal menghabiskan makanan yang diambilnya. Sungguh membazir.

PCOS Sukar Dirawat




Penyakit ini menjadi salah satu punca utama kemandulan.

Mengapa sukar merawat PCOS ?

1. Salah satu punca penyakit PCOS adalah cacat baka / genetic - d imana gen yang mengawal hormon subur adalah cacat sejak lahir. Tidak ada rawatan untuk membetulkan kecacatan genetik ini. Kita bergantung dengan usaha mengubah faktor-faktor lain sahaja, ini pun banyak bergantung kepada azam dan kesungguhan pesakit PCOS.

2. Kegemukan/obesiti adalah faktor kedua penting dalam kejadian PCOS. PCOS sering dikaitkan dengan penyakit diabetes dalam keluarga. Begitu juga obesiti juga dikaitkan dengan diabetes dan baka. Usaha untuk mengurangkan berat badan memang sangat sukar, mudah untuk naik berat badan tapi hendak turun memang perlu azam dan ketabahan.

Penurunan berat badan merupakan rawatan yang terpenting bagi meningkatkan kesuburan dalam kalangan pesakit PCOS. Cara-cara paling berkesan ialah dengan DIET, iaitu mengurangkan makanan karbohidrat dan gula, dan exercise untuk membakar lebihan gula dan lemak dalam badan.

Namun saya dapati dua perkara di atas amat sukar diamalkan oleh para penghidap PCOS. Jika mereka bersungguh inginkan zuriat, mereka perlu kuatkan azam dan kecekalan untuk berkerja keras demi mencapai matlamat. Pengalaman saya lebih 40 tahun menunjukkan para penghidap PCOS lebih 90% gagal menurunkan berat badan. Mereka hanya bergantung pada ubat dengan harapan mereka boleh hamil tanpa usaha. Sangat penting sikap ini diubah.

Program kuruskan badan

3. Tiada ubat khusus untuk PCOS, kerana ia rangkaian berbagai masalah termasuk, insulin resistance, ketidakseimbangan hormon antara FSH/LH, hormon testosteron tinggi, estrogen tinggi, progesteron rendah, Akhirnya sel-sel benih/telur tidak dapat dimatangkan.

Seringkali ubat subur clomid dengan dos tertinggi diperlukan (200-250 mg). Jika gagal ubat gonadotrophin secara suntikan diperlukan dan ubat ini sangat mahal harganya, sedangkan kadar kejayaan hanya 30% sahaja. 

4. Kegunaan ubat-ubat suplemen boleh membantu untuk mengurangkan berat badan, kurangkan insulin resistance seterusnya mengurangkan gula dalam badan, mengurangkan juga hormon testosteron. Saya sering beri pesakit ubat adipex, metformin dan saw palmetto. Perlu diingat pesakit PCOS tidak boleh bergantung pada ubat-ubatan tersebut terlalu lama. Ia boleh diharap mungkin antara 3-6 bulan sahaja.

5. Saya nasihatkan makan banyak buah-buahan dan sayuran serta ulam. Makanan yang banyak mengandungi bahan pengawet, perisa dan pemanis perlu dijauhkan termasuk fast dan junk food. Segala kebaikan seperti vitamin, antioksidan, logam dan lain-lain adalah terkandung dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam.

6. Jangan mudah putus asa, teruskan usaha sampai hamil. Perubahan dalam cara gaya hidup sangat penting terutama tabiat makan dan pilihan jenis makanan yang berzat dan berkhasiat. Pilih makanan yang segar/fresh tanpa diproses, tanpa pengawet, perisa dan pemanis. Lakukan gerak tubuh/exercise, mungkin buat jogging 30 minit sehari. Lakukan senaman nafas/yoga untuk relaks. Hilangkan stres dengan membaca Quran dan berzikir. 

7. Cuba buat IUI apabila ada telur matang selepas makan clomid dos tinggi. Ini mungkin boleh menambah peluang untuk hamil. Biasanya jika ada pematangan telur kehamilan akan berlaku secara spontan tanpa memerlukan IUI.

8. Laparoscopic Ovarian Drilling iaitu satu kaedah pembedahan untuk menyuburkan ovari perlu dilakukan jika tiada pematangan telur walaupun dengan clomid dos tinggi. Rawatan ini dapat  menurunkan tahap hormon testosteron yang sering menganggu pematangan telur.

Selepas ovarian drilling amalan pemakanan yang berzat dan berkhasiat amat penting; ubat subur clomid dos tinggi masih diteruskan selama 3 pusingan haid. Peluang hamil selepas rawatan ini adalah 40-50%.

9. Bayi tabung uji atau IVF mungkin boleh dicuba sebagai langkah terakhir, itupun kalau berjaya merangsang pematangan telur.
 

Tentang PCOS

Polycystic Ovary Syndrome atau PCOS adalah suatu keadaan di mana kilang telur atau ovari pada seseorang wanita menjadi bengkak oleh sebab benih-benih telah terperangkap dalam ovari dan tidak boleh menetas pada waktu subur. Maka apabila berlaku keadaan seperti ini lama-kelamaan ovari akan membengkak dan menimbulkan berbagai jenis masalah pada wanita tersebut. 
 
 
 
Kejadian penyakit ini kian meningkat dalam kalangan wanita-wanita Malaysia ke taraf yang membimbangkan kerana ia menjejaskan kesuburan dan keupayaan mereka untuk hamil dan melahirkan anak.
 

APAKAH TANDA-TANDA PENYAKIT POLYCYSTIC OVARY?
  
 
1. Tidak subur atau mandul
 
Kebanyakan daripada pesakit-pesakit PCOS datang berjumpa doktor pakar sakit puan sebab sukar hendak hamil walaupun telah lama mencuba. Ada yang telah beberapa tahun berkahwin tetapi masih belum medapat zuriat. Ada yang berjaya mendapat anak pertama dan gagal untuk hamil lagi selepas itu. Mereka ini mudah meningkat berat badan dan seringkali peningkatan ini berlaku secara mendadak. 

Mereka tidak subur kerana telur tidak boleh matang dan tidak menetas/ovulasi. Hormon perangsang subur FSH dan LH yang dikeluarkan oleh kilang pituitari dalam otak, tidak bermaya untuk merangsang sel benih untuk matang. Paras hormon LH pun melonjak, biasanya lebi dua kali ganda FSH.

Kegagalan ovulasi adalah punca utama mandul. Seringkali ubat atau suntikan subur diperlukan untuk merangsang pematangan dan penetasan telur.

 
2. Haid tidak teratur
 
Tanda yang biasa ialah haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid. Kadangkala jarak antara haid menjadi begitu jauh sehingga 3 atau 6 bulan barulah datang haid yang berikutnya. Ada setengah wanita pula sampai setahun tidak datang haid. 

Apabila keluar haid, ada yang mengalami perdarahan yang amat banyak (menorrhagia) sehingga letih lesu dan mungkin pitam. Setengah pesakit memerlukan transfusi darah kerana anemia (hemoglobin sangat rendah). Setengah pula mengalami perdarahan sedikit-sedikit tetapi berlarutan sampai sebulan.
 
 
3.  Gemuk/obesiti
 
Tanda lain ialah peningkatan berat badan menyebabkan wanita itu gemuk atau obes. Seringkali peningkatan berat badan ini berlaku secara mendadak, misalnya selepas ia berkahwin. Pada ketika itu pusingan haid pun menjadi lebih tidak teratur dan kesuburan mereka sangat kurang ataupun langsung tidak subur kerana telur tidak dapat menetas.
 
 
4.  Darah haid sedikit atau/dan berpanjangan
 
Selain mengalami pusingan haid yang begitu panjang jangka waktunya, darah haid yang keluar mungkin sedikit sekali, tidak seperti haid biasa yang keluar secara sederhana selama seminggu. Tetapi wanita yang mengidap penyakit polycystic ovary akan mengalami haid yang sangat sedikit, hanya menitis selama 2 atau 3 hari. Ada juga dalam kalangan mereka yang mengalami perdarahan yang berpanjangan sampai 15 hari ataupun 30 hari tanpa henti. 

 
5. Tumbuh rambut
 
Pada setengah wanita pula tanda-tanda lain ialah tumbuh rambut pada kaki, tumbuh misai dan janggut juga tumbuh rambut pada bahagian tangan, adakalanya pada bahagian dada. Ini menandakan peningkatan dalam hormon lelaki dalam darah wanita tersebut. Iaitu satu keadaan yang sering berlaku dalam kalangan pengidap penyakit polycystic ovary
 



 
 
Apakah puncanya?
 
Sebenarnya punca bagi penyakit ini tidak diketahui. Mungkin satu keadaan semulajadi iaitu cacat baka di mana terdapat kelainan atau gangguan pada enzim yang mengawal pembentukan hormon.

Oleh itu biasanya jika dikaji paras hormon dalam darah, kita dapati wanita tersebut terganggu dalam hormon kesuburan mereka iaitu tahap hormon FSH normal, LH tinggi, hormon estrogen tinggi, hormon progesteron rendah, hormon testosteron (iaitu hormon lelaki) meningkat tinggi. Adalah dipercayai bahawa peningkatan berat badan ada kaitan dengan peningkatan hormon testosteron dengan estrogen dalam darah wanita tersebut. 
 
Mungkin ada ciri atau pengaruh kebakaan atau keturunan dalam penyakit ini. Walau demikian faktor pemakanan iaitu daripada segi tabiat dan jenis makanan yang mengandungi banyak karbohidrat dan gula, perisa dan pengawet makan mungkin mempunyai peranan penting dalam kejadian penyakit PCOS . Pengidap penyakit ini mengalami insulin intolerance.
 
Faktor stres atau tekanan fizikal dan mental yang timbul daripada suasana tegang dalam pekerjaan dan rumah, pergeseran dan konflik dalam kalangan keluarga atau saudara mara dan dalam kenderaan ketika memandu mungkin juga memainkan peranan dalam kejadian penyakit ini.
 
 
Ciri ovari dalam ultrasound
 
Jika doktor pakar sakit puan membuat pemeriksaan ‘vaginal ultrasound’ ia akan mendapati kedua-dua belah ovari bengkak dan membesar sampai dua atau tiga kali ganda daripada saiz biasa. Kelihatan ovari itu seolah-olah mengandungi bintik-bintik hitam iaitu apa yang digelar “honeycomb appearance”. Bintik-bintik hitam inilah sebenarnya telur atau benih wanita yang telah terperangkap. 
 


 

Rawatan
 
i. Tujuan rawatan polycystic ovary ialah pertama untuk meningkatkan kesuburan. Kerana sebahagian besar daripada mereka berjumpa doktor dengan tujuan untuk mendapatkan anak. Dan kerana mereka mengalami ketidaksuburan ataupun kemandulan.
 
ii. Tujuan kedua ialah untuk membetulkan pusingan haid. Supaya jarak antara satu haid dengan yang lainnya lebih kerap ataupun normal iaitu 30 hari. 

 
Cara-cara untuk mengawal kegemukan (obesiti)
 
Dalam merawat pesakit perkara yang terpenting sekali bagi pesakit berkenaan ialah ketabahan, disiplin serta keazaman diri untuk mengurangkan berat badan. Kebanyakan daripada mereka mungkin memiliki berat badan melebihi 70 kg, tidak kena dengan ketinggian diri. Sedangkan berat badan yang sebaiknya bagi wanita, misalnya yang berukuran tinggi 5 kaki 2 inci ialah kurang daripada 60 kg.
 
Untuk mengurangkan berat badan memang memerlukan ketabahan, kegigihan dan disiplin yang kuat kerana sebenarnya orang-orang yang obes atau gemuk mengalami masalah tabiat makan. Oleh itu mereka memerlukan rawatan mental supaya menjadi lebih tabah dan berdisiplin dalam mengawal pemakanan. Di samping mengawal pemakanan yang mungkin berlebihan karbohidrat dan gula, mereka perlu membuat riadah atau exercise yang sewajarnya.
 
 
MENINGKATKAN KESUBURAN WANITA
 
Daripada segi merawat kesuburan terdapat banyak kaedah rawatan yang sering dicuba oleh pakar-pakar sakit puan. Antaranya ialah ubat-ubatan seperti berikut: 

 
Ubat subur Clomiphene 

Biasanya ubat subur Clomiphene atau clomid akan diberikan dalam dos yang tinggi, mungkin sampai ke tahap 250 mg atau lima biji sehari untuk selama 5 hari hingga 7 hari mulai daripada hari kedua atau ketiga daripada hari mula keluar haid. Tujuan rawatan ini ialah untuk merangsang ovari yang polycystic ini untuk mengeluarkan telur.
 
Respon yang positif dengan adanya pengeluaran telur mungkin berlaku hanya dalam kalangan sebahagian pesakit sahaja. Mungkin separuh daripada mereka tidak akan menunjukkan kesan positif daripada segi pengeluaran telur. 

Walau demikian setiap wanita yang menjalani rawatan kesuburan memerlukan pengawasan dan ujian yang teliti oleh pakar sakit puan. Kerana jika terlalu banyak telur dikeluarkan pada satu masa ia boleh membahayakan kesihatan menyebabkan kandungan yang berganda-ganda.
 
Ubat kesuburan yang lain daripada Clomiphene ialah ubat suntikan hormon Gonadotrophin yang juga diberikan mulai hari kedua haid selama lima hari berturut-turut. Bahayanya ubat ini ialah rangsangan telur yang berlebihan menyebabkan terlalu banyak telur keluar. Ini boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kehamilan berganda.

 
Ubat Metformine
 
Sekarang ini ubat Metformine yang biasa digunakan untuk merawat kencing manis digunakan dalam jangka masa enam bulan berturut. Dos yang digunakan ialah antara 1 gm hingga 2.5 gm setiap hari sampai enam bulan. Mengikut kajian 60 peratus daripada wanita yang memakan ubat ini akan menetas telurnya. Sebahagian besar juga akan akhirnya mengandung. 
 
 
Rawatan laparoscopy dan ovarian drilling

Ini adalah satu kaedah baru di mana pesakit “polycystic ovary” akan menjalani pembedahan kecil yang memerlukan bius am. Teropong laparoscopy untuk melihat ovari dan seterusnya laser drilling akan dilakukan dengan menggunakan elektrik cautery ataupun laser cautery. Kaedah rawatan ini juga menghasilkan kehamilan dalam lingkungan 50 hingga 60 peratus. 
 
 

Laparoscopy Ovarian drilling