Perdarahan Waktu Hamil

Perdarahan pada akhir kandungan…

 

Perdarahan pada peringkat akhir kehamilan mulai tujuh bulan kandungan biasanya menandakan salah satu daripada tiga perkara :  

1. Uri pada pintu rahim

2. Accidental haemorrhage

3. Incidental bleeding

  

1. Uri pada Pintu Rahim (placenta previa)

Uri yang berada pada pintu rahim boleh menyebabkan pendarahan yang banyak, kadangkala sampai boleh mengancam nyawa ibu dan bayi. Dengan ujian ultrasound yang dilakukan ketika ibu melawat doktor pakar perbidanan, biasanya kedudukan uri dapat dikesan sama ada berada di tempat biasa iaitu di bahagian atas rahim atau di bahagian luar biasa iaitu di pangkal rahim.

Langkah-langkah tertentu perlu diambil setelah dikesan kedudukan uri tersebut untuk mencegah berlakunya pendarahan yang banyak khususnya apabila kehamilan mencapai ke peringkat lapan bulan atau lebih. Kedudukan uri di bawah 'placenta previa'  merangkumi dua jenis, pertama ialah di mana uri menutupi pintu rahim sepenuhnya iaitu 'placenta previa major'. Keadaan ini boleh menyebabkan pendarahan yang banyak apabila berlakunya kuncupan rahim khususnya pada peringkat akhir kehamilan.

Kuncupan rahim sering disebabkan oleh kepenatan, tekanan mental dan penyakit jangkitan kuman khususnya pada pundi kencing atau bahagian tubuh yang lain. Apabila berlaku perdarahan ibu mesti terus masuk ke hospital kerana biasanya pembedahan cesarean secara cemas perlu dilakukan untuk menyelamatkan ibu dan nyawa bayi tersebut.

'Placenta previa minor' ialah apabila uri hanya terletak pada bahagian bawah rahim tetapi tidak menutupi langsung pintu rahim. Keadaan begini tidaklah begitu mengancam dan biasanya tidaklah menyebabkan perdarahan yang banyak sangat. Adakalanya dalam keadaan ini kelahiran normal masih boleh dilakukan.

 

2. Accidental Haemorrhage (abruptio placenta)

Ini bermakna pendarahan berlaku dalam rahim di belakang uri dan keadaan ini sangatlah merbahaya kerana pendarahan di luar adalah sedikit tetapi banyak berlaku di dalam rahim menyebabkan rahim itu sangat keras dan membesar. 

Keadaan ini sangat merbahaya dan mengancam nyawa bayi dan ibu. Jika terlambat kadangkala bayi telah mati dalam perut sebelum ibu sampai ke hospital. Dalam keadaan yang sangat teruk, ibu tersebut juga boleh meninggal kerana bila keadaan ini berlaku ibu sebenarnya berdarah dengan banyaknya dalam rahim dan perdarahan tidak boleh dikawal kerana semua sel-sel pembekuan darah (platelets) telah habis terperangkap akibat bekuan darah dalam rahim.

Keadaan ini digelar dengan nama 'disseminated intra-vascular coagulation' iaitu satu keadaan yang amat merbahaya kerana pendarahan bukan sahaja berlaku dalam rahim tetapi di semua organ-organ dalam badan khususnya hati dan otak. Keadaan inilah yang boleh membawa maut kepada ibu tersebut.

Kelahiran mesti dilakukan secara cemas untuk menyelamatkan ibu, mungkin yang paling selamat sekali ialah dengan pembedahan cesarean. Transfusi darah serta lain-lain cecair untuk menggantikan cecair, logam dan sel-sel pembekuan perlu dilakukan dengan banyak dan cepat.

 

3. Pendarahan 'Incidental'

Ini mungkin disebabkan pintu rahim yang luka (erosion) atau dijangkiti kuman, atau saluran darah yang pecah di sekeliling pintu rahim ataupun saluran faraj. Keadaan ini tidak begitu membahayakan ibu dan bayi tetapi ini adalah satu keadaan yang juga memerlukan perhatian.

Perlu dipastikan bahawa sebab-sebab utama seperti 'placenta previa' dan 'abruptio placenta'  tidak berlaku dengan membuat pemeriksaan faraj serta ujian ultrasound.Tiada rawatan yang khusus untuknya melainkan rehat.

 

Keguguran Mid Trimester

Jahit pintu rahim cegah gugur

 

 

Keguguran midtrimester iaitu kandungan bulan ke-4 hingga ke-7 bulan boleh berlaku dengan spontan. Seringkali bayi akan mati dalam rahim sebelum dilahirkan. Namun demikian ada juga yang lahir hidup tapi hanya untuk beberapa jam sahaja. Di hospital yang mempunyai peralatan dan kemudahan canggih untuk membantu pernafasan bayi amat kecil masih terdapat peluang untuk hidup.

Banyak punca yang mungkin menyebabkan gugur midtrimester misalnya penyakit pada ibu seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, demam panas, keracunan, penyakit pada rahim seperti fibroid, cyst ovari, endometriosis, malformasi rahim dan kekenduran pintu rahim (cervical incompetence).

Lain-lain punca termasuk uri yang rosak akibat jangkitan kuman atau perdarahan (abruptio placenta). Atau kecacatan besar pada organ penting bayi seperti cacat jantung, paru-paru atau otak menyebabkan bayi mati dalam rahim dan kemudian gugur.

Setengah wanita mengalami keguguran berulang kali, yang sering berlaku sekitar 4-6 bulan kandungan. Punca berlaku demikian ialah pintu rahim longgar - cervical incompetence. Pintu rahim perlu dijahit sekitar 3 bulan hamil. Kaedah ini digelar Shirodkar suture atau cervical cerclage.

Jahit Pintu rahim

Perdarahan Awal Kehamilan

Perdarahan pada peringkat awal kehamilan (3 bulan pertama) boleh mengancam janin dan ibu.

1. Mungkin diancam gugur dan terus gugur.
2. Kandungan molar (luar biasa).
3. Kandungan di luar rahim (ectopic).

Sangat penting berjumpa doktor untuk diperiksa dan buat ultrasound scan. Scan melalui faraj (vaginal scan) penting untuk kesan janin dan denyutan jantung. Untuk sahkan kehamilan molar atau luar rahim yang boleh mengancam nyawa ibu.

Punca Berulang Kali Gugur

1. Punca utama keguguran adalah terdapat kecacatan baka pada janin. Lebih 95% embryo cacat akan gugur. Jika tidak bayi akan lahir cacat.

2. Penyakit pada rahim seperti fibroid, adenomyosis, cacat bentuk rahim. Cyst ovari, endometriosis. Pintu rahim longgar/ cervical incompetence.

3. Jangkitan kuman dan antibodi dalam darah.

4. Penyakit seperti diabetes, SLE, buah pinggang dan lain-lain.

5. Stres dan tekan fizikal dan emosi.

6. Toksin. Berbagai jenis racun ada di persekitaran kita.

Gugur Berulang - Sambungan

1. Terpenting sekali ialah rehat sepenuhnya dengan berbaring. Bagi mereka yang ada retroverted uterus elok meniarap antara 10-30 minit dengan dialas 2 bantal di bawah perutnya. Mungkin perlu cuti medical atau tanpa gaji.

2. Suntikan hormon yang mengandungi hormon progesteron/roluton selang 2 hari selama dua minggu. Atau pil hormon/duphaston dimakan satu biji 2 atau 3 kali sehari terus menerus sampai 3 bulan hamil.

3. Jauhkan persetubuhan khususnya pada peringkat awal kehamilan. Jika dilakukan tentukan tidak tindih perut isteri. Buar air mani di luar atau guna sarung kondom.

4. Elakkan perjalanan jauh, shopping dan menaiki pesawat terbang.

5. Makanan berkhasiat jika masih ada selera. Jauhkan fast dan junk food.

6. Makan suplemen multivitamin/obimin, folic asid, vitamic E dan C, fish oil.

Kehamilan Luar Rahim (Ectopic Pregnancy)

Bahaya kehamilan di luar rahim khususnya dalam fallopian tube ialah pecah dan menyebabkan perdarahan dalam perut dengan banyak menyebabkan pitam. Ini sering berlaku pada kandungan dua bulan ke atas. Tanda awal ialah perdarahan. Bila sudah pecah ia menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Sebaiknya jangan tunggu sampai ke peringkat ini.

Jumpa doktor dan scan bila perdarahan bermula. Jika dikesan awal sebelum pecah pembedahan laparaoscopy untuk bedah buangkan ectopic sahaja tanpa buang fallopian tube.
Bila sudah pecah dan banyak perdarahan dalam perut doktor perlu bedah besar di perut dan fallopian tube serta kandungan ectopic perlu dipotong . Transfusi darah mungkin juga diperlukan. Doktor perlu periksa dengan teliti fallopian tube yang lain dan dibaiki jika ada kerosakkan. Jika rahim retroverted ini juga dibetulkan pada waktu sama.

Kehamilan Molar

Saya dapati dewasa ini kes-kes molar pregnancy semakin berkurangan. Molar pregnancy boleh dikesan awal dengan ultrasound scanning dan ujian darah HCG. Perlu buat cuci rahim/D&C . Ada kala diperlu ulang cuci rahim.

Penting dipantau ujian darah HCG. Ia sepatutnya pulih selepas 6 minggu. Jika HCG masih tinggi bahaya molar jadi kanser. Rawatan dengan ubat methotrexate mungkin diperlukan jika HCG berterusan tinggi.