Kali Kedua Dibedah Sebab Endometriosis

Pesakit ini  berumur 29 tahun dan pada tahun 2010 beliau telah menjalani satu pembedahan besar di hospital kerajaan (lihat gambar panjang parutnya). Beberapa bulan lepas beliau berjumpa saya mengadukan masalah senggugut dan sukar hendak hamil.

Bila saya buat ultrasound scan didapati cyst pada kedua belah ovari jenis endometriosis. Bukan itu sahaja malah rahimnya telah dilanda tumbuhan adenomyosis iaitu sejenis tumbuhan pada dinding otot rahim, biasanya pada dinding belakang rahim. Dan ia melekat pada usus menyebabkan berbagai gangguan usus.

Bila saya bedah kelihatan kerosakan pada organ  peranakan pesakit terlalu teruk. Kedua-dua saluran fallopian bengkak dengan chocolate cyst serta tersumbat dan melekat-lekat pada usus dan rahim. Kedua-dua ovari ada endometriotic cyst. Ia telah hampir merosakkan kedua-dua ovarinya.

Saya terpaksa membedah buang ovari dan tiub Fallopio kiri sebab penyakit endometriosis yang amat teruk dan merosak. Hanya sebahagian kecil tisu ovari kanan dapat diselamatkan dan tiub Fallopio juga dibuang separuh kerana terlalu rosak. Jika dengan izin Allah pemulihan ovari dan tiub kanan berlaku maka masih ada peluang pesakit ini untuk hamil.

Endometriosis - Satu Penyakit yang Tidak Berkesudahan

Para pesakit yang ditimpa endometriosis sering mengalami kelemahan dalam sistem pertahanan badan (low immunity) . Situasi ini mungkin sudah bermula sejak remaja dan kanak-kanak, apabila pemakanan mereka hanya tertumpu kepada nasi dan lauk sahaja atau terlalu banyak makanan segera tanpa makan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Situasi ini menjadi lebih buruk apabila gadis yang sudah mengalami masalah senggugut pergi belajar di pusat pengajian tinggi. Di samping masalah tidak seimbang zat dan mutu pemakanan yang rendah, keadaan buruk ditambah pula faktor stres dan tekanan mental, fizikal dan emosi. Stres melemahkan lagi imuniti seseorang dan ini boleh mencetuskan endometriosis.

Endometriosis Semakin Merosak

Stres dan lain-lain tekanan hidup mengancam kesihatan kita. Bagi wanita ia juga mengancam kesuburan menerusi berbagai cara termasuk penyakit endometriosis yang mana tanda utama ialah senggugut.

 

Simtom-simtom Endometriosis?



 

1. SENGGUGUT

Tanda yang paling utama sekali dalam kalangan wanita ialah senggugut ataupun kesakitan pada bawah perut dan pinggang. Senggugut ini mungkin dialami sejak remaja lagi dan ia berterusan, mungkin tidak reda walaupun selepas kahwin. 

Ada setengahnya lega sekejap selepas berkahwin dan melahirkan anak. Tetapi senggugut akan timbul balik akibat daripada penyakit endometriosis. Kesakitan yang dialami biasanya berlaku sebelum datangnya haid. Ia biasanya berbentuk kesakitan yang amat kuat pada bahagian ari-ari dan sering juga ke bahagian pinggang. 
 
Biasanya rasa sakit akan reda selepas dua atau tiga hari sahaja. Tetapi jika endometriosis telah merebak dengan banyak, kesakitan mungkin akan berterusan waktu haid. Walaupun haid sudah berhenti kadangkala kesakitan masih ada lagi. Ini menunjukkan bahawa penyakit ini berada pada peringkat yang teruk dan mungkin telah melibatkan kerosakan pada dinding dan otot rahim. 
 
Kesakitan juga dialami ketika melakukan persetubuhan khususnya jika suami menekan agak kuat sedikit. Kesakitan juga mungkin dialami waktu membuang air besar khususnya pada waktu haid. Ini disebabkan oleh perdarahan yang berlaku di belakang rahim, Ia mungkin melibatkan usus besar. 
 
 
2. SUKAR HAMIL

Gangguan lain ialah ketidaksuburan dan kemandulan. Ini adalah masalah besar dalam kalangan penghidap penyakit endometriosis. Mereka tidak sedar yang penyakit ini mungkin telah terjadi. Yang mereka tahu ialah mereka sukar untuk mengandung. Sama ada buat kali pertama ataupun selepas melahirkan seorang anak ia tidak dapat hamil lagi beberapa tahun kemudian. 

Banyak juga yang mengalami keguguran pada peringkat awal kehamilan. Ada pula yang gugur berulang kali.
 
 
 
Bagaimana endometriosis menyebabkan kemandulan?
 
Sebenarnya ada beberapa penjelasan :

1. Penyakit ini boleh merosakkan kilang telur menyebabkan ia tidak boleh keluar benih.

2. Ia menyebabkan kerosakan pada saluran fallopian sehingga benih lelaki tidak boleh masuk untuk bertemu dengan telur.

3. Endometriosis juga mengeluarkan beberapa jenis racun yang mungkin mematikan benih dan telur atau embrio.

4. Ia menimbulkan gangguan-gangguan hormon yang biasanya mengawal kesuburan wanita.
Tetapi dalam kalangan pengidap endometriosis ada juga yang boleh hamil walaupun tanpa diberi rawatan. Inilah kebesaran serta kehendak Allah SWT. 
 
 

Rawatan Penyakit Endometriosis

Oleh kerana kebanyakan daripada mereka yang bertemu doktor mengalami masalah ketidaksuburan telah pun berulangkali gugur disertai oleh senggugut, mereka memerlukan rawatan yang sewajarnya. Yang penting sekali tujuan rawatan ialah untuk mempercepatkan wanita tersebut hamil, kerana keadaan hamil ini boleh mengawal pertumbuhan atau menghapuskan sama sekali penyakit endometriosis ini. Kehamilan itu sendiri merawat endometriosis daripada merebak.

 
 
Pembedahan untuk membuang endometriosis
 
Jika terdapat pengumpulan darah yang banyak dan busuk iaitu ‘chocolate cyst’ ataupun keadaan kedudukan rahim yang terbalik (retroverted) pembedahan akan dilakukan. Biasanya saya sendiri mencadangkan pembedahan secara laparoscopy disertai dengan pembedahan kecil pada bahagian bawah perut dengan hirisan lebih kurang dua atau tiga inci untuk membuang tumbuhan cyst serta untuk membersihkan dan membuat cautery yakni tembakan pancaran laser pada bahagian-bahagian yang terkena pertumbuhan endometriosis.
 
Pembedahan ini juga membolehkan doktor membetulkan rahim yang terbalik dengan menjahit rahim ke otot perut pada bahagian hadapan (ventro-suspension of the uterus). Setelah ini dilakukan, bahagian peranakan serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan keracunan yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika terdapat kesumbatan pada saluran fallopian ketika pembedahan, keadaan ini juga akan diperbetulkan sekali. 
 
Selain daripada cara pembedahan, rawatan dengan ubat-ubat sering juga dilakukan untuk merwat penyakit ini. Di pasaran terdapat banyak ubat hormon yang digunakan, antaranya hormon-hormon Progesterone yang mana antara jenamanya ialah Primulut, Norculut. Ia digunakan selama enam hingga sembilan bulan dengan tujuan untuk menghentikan haid. Juga terdapat ubat-ubat seperti Danazol yang mana tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan haid dan mengurangkan pertumbuhan endometriosis
 
Dalam beberapa tahun yang lepas terdapat ubat-ubatan terbaru yang diberikan secara suntikan sebulan sekali dalam bentuk berbagai jenama seperti Zoladex. Suntikan-suntikan tersebut agak mahal sedikit dan ia memberi kesan sampingan seperti yang dialami oleh wanita yang sedang putus haid. Kesan sampingan yang lain seperti apabila memakan pil Danazol ialah perubahan-perubahan yang menimbulkan sifat kelelakian seperti tumbuh rambut dan suara menjadi kasar. Peningkatan timbang berat juga merupakan satu kesan sampingan juga.
 
Saya sekarang kurang menggunakan ubat-ubat tersebut untuk merawat pesakit-pesakit endometriosis khususnya mereka yang mempunyai masalah kemandulan atau keguguran yang berulang. Saya lebih suka melakukan pembedahan untuk membetulkan kedudukan rahim juga melakukan lain-lain pembetulan dan pembersihan di dalam dan persekitaran rahim kerana hasil daripada segi mendapatkan kehamilan berlaku dengan lebih kerap dan cepat lagi. Apabila wanita itu hamil, Insya Allah penyakit endometriosis ini terkawal dan jarang berulang lagi.

LAPAROSCOPY

Pembedahan Laparoscopy

Pembedahan kecil ini merupakan satu kaedah rawatan yang amat berkesan dalam merawat masalah kesuburan wanita khususnya jika ada sakit senggugut yang mungkin disebabkan oleh endomteriosis. Biasanya selepas pesakit dibius dan sudah tidur, tatacara utama ialah D&C. Ini penting untuk meluaskan pintu rahim dan mencuci dinding rahim daripada lapisan endometrium yang tebal dan tumbuh polyps. Seterusnya saya buat hydrotubation untuk basuh dan luaskan saluran fallopian.

Untuk laparoscopy biasanya 3 tebukan dibuat pada perut untuk membolehkan teropong laparoscope dan lain-lain peralatan dimasukkan bagi melakukan berbagai prosedur bedah seperti buang cyst ovari, fibroid, laser endometriosis, buka saluran fallopian, adhesion lysis, ventrosuspension dan lain-lain.

 

Punca Endometriosis

Endometriosis adalah satu penyakit yang melanda ramai wanita. Gejala utama adalah senggugut, ancaman kesuburan dan keguguran.

Endometriosis - Pengesahan

Endometriosis bahagian 3

Rawatan Penyakit Endometriosis

Endometriosis - sambungan

Endometriosis - sambungan 2

Endometriosis dan PCOS Punca Utama Kemandulan Wanita