Tiga Tahun Pertama Pembentukan Otak

Mulakan aktiviti merangsang otak bayi sejurus ia lahir. Rangsang prenatal/dalam rahim harus dimulakan sejak bayi dalam kandungan berumur 5 bulan. Teruskan usaha anda untuk merangsang otak bayi. Jika ibu bapa gagal, bayi mungkin kerugian peluang keemasan untuk mendapat otak yang berpotensi jadi genius dengan izin Allah.

Sebenarnya kaedah-kaedah rangsangan amat mudah dipelajari dan diamalkan. Tetapi ibu dan bapa perlu melawan sedikit tekanan tradisi dan adat-adat yang diamalkan orang-orang tua sejak berzaman tanpa asas saintifik. Yayasan Jabal Nur ( YJN )  akan cuba membantu anda dengan memberikan beberapa garis panduan tentang cara dan kaedah merangsang otak bayi sejak lahir hingga berumur tiga tahun. Inilah jangka waktu kritikal bagi pertumbuhan otak bayi yang akan menentukan pencapaian kecerdasan otak yang cemerlang pada masa hadapan anak.

Bagi ibu bapa yang kali pertama mendapat anak bukan sahaja mereka masih kekurangan ilmu dan kemahiran dalam penjagaan dan pendidikan anak malah mereka merasa terlalu kekok, janggal dan takut memegang dan membelai bayi yang baru lahir. Tetapi semua ini akan hilang bila ibu dan bapa terus berlatih dan memberanikan diri untuk berinteraksi dengan anak.

Kaedah Rangsangan Bayi

Tahun pertama adalah sangat penting bagi perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan intelektual seseorang anak. Bayi yang terdedah pada persekitaran penuh rangsangan minda tentulah akan menjadi anak yang pintar . Ibu bapa perlu mewujudkan suasana dan persekitaran sedemikian. Hasilnya ikatan atau talian hubungan antara ibu bapa dan anak akan menjadi kukuh berlandaskan kemesraan dan kasih sayang.

Ibu bapa perlu menganggap aktiviti-aktiviti rangsangan sebagai mainan bukan satu kerja atau tugas. Anak pun suka dan riang sambil otak dan mindanya bercambah lalu berkembang. Ini seterusnya meningkatkan daya fikir dan kecerdasan otak.

Setiap perbuatan ibu kepada bayi memberikan peluang dan ruang untuk dijadikan satu aktiviti rangsangan. Misalnya rangsangan boleh dilakukan ketika menukar lampin, memandikan,  menyusukan, menidurkan dan lain-lain. Rangsangan timbul melalui sentuhan, pendengaran, penglihatan, rasa dan bau.

Pada ketika itu ibu jangan membisu. Cuba bercakap-cakap, menyanyi, selawat, nasyid, mengagah, senyum dan ketawa. Selepas mandikan bayi sapu kulit dan urut seluruh tubuh bayi dengan minyak kelapa dara atau minyak zaitun. Jika ibu banyak bercakap kepada bayi ketika dalam kandungan, selepas lahir bayi akan kenal dan rasa familiar dengan suara ibu.

 

Permulaan

Perlu ingat rangsangan sepatutnya dianggap sebagi satu aktiviti mainan dan hiburan untuk ibu bapa dan bayi. Waktu bermain dengan bayi menjadi satu bentuk pendidikan kepada bayi. Berikut adalah beberapa garis panduan untuk ibu bapa :

 

1. Beri kasih sayang. Ini memang naluri tetapi kita perlu tunjuk dengan tindakan seperti memeluk mendakap, membelai dan mencium.

2. Interaksi dengan bayi.  JANGAN MEMBISU. bercakap-cakap dan bernyanyi pada bayi ketika memandikan, tukar lampin dan menyusukan.

3. Kenal dengan bayi. Ibu bapa akan faham kerenah bayi, apa yang dia suka atau tidak suka ketika dirangsang. Dia akan respon secara positif yang mana dia suka.

4. Enjoy dan relaks. Jangan paksa atau tunjuk ibubapa menekan dalam melaksana aktiviti merangsang. 

5. Beri ruang dan kelapangan. Jangan terlalu banyak mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti rangsangan.

6. Rangsang mengikut tahap perkembangan bayi. Jangan gunakan kaedah yang terlalu mudah atau sukar untuk diikuti bayi. Ibu akan tahu mana satu yang sesuai dan memberi galakan.

7. Rangsang pada waktu sesuai. Bayi banyak tidur, jangan kacau pada waktu itu. Jangka masa 10 minit untuk rangsang sudah mencukupi.

8. Tunjukkan kita gembira. Peluk, cium dan bertepuk.

9. Buat berulang kali. Rangsangan perlu diulang-ulang agar maklumat dapat disimpan dalam otak. Ini sama juga seperti menghafal Quran. Bila ayat2 diulang-ulang baca, sebelum sampai 40 kali kita sudah hafal ayat tersebut. Tetapi penting diketahui bayi tidak mudah jemu. Jika ia menunjukkan tanda-tanda jemu perlu diubah jenis aktiviti rangsangan.

 

Rangsang Pendengaran

Sejak umur 5 bulan dalam kandungan bayi sudah boleh mendengar. Oleh itu kaedah-kaedah rangsangan yang berkenaan sudah boleh dimulakan. Sejurus sahaja lahir rangsangan pendengaran diteruskan khususnya oleh ibu bapa dan penjaga bayi serta saudara mara terdekat. Ibu terus bercakap, bernyanyi, mengagah, mengaji Quran, berselawat, bernasyid dan berzikir khususnya ketika bayi celik mata, selepas mandi dan ketika tukar lampin. Bapa juga digalakan melakukan oerkara yang sama walaupun pada mulanya dia merasa takut dan kekok untuk memegang dan membelai bayi.

1. Program Jabal Nur parenting mencadangkan kegunaan 2 keping kayu keras (lihat gambar) ditepukkan dengan jarak jauh satu kaki daripada bayi. Bunyi tepukan kayu ini akan pada mulanya menimbulkan 'startle reflex' atau terperanjat, tetapi bayi kemudian  tenang. Tepuk sebanyak 10 kali pada telinga kanan dan 10 kali pada telinga kiri. Ulang tepukan begini untuk beberapa sesi dalam sehari khususnya bila bayi tidak tidur. Kaedah rangsangan ini diteruskan hingga akhir bulan pertama. Pada bulan kedua dan ketiga kita cadangkan bunyi hon (lihat gambar) dan diulang-ulang seperti di atas.

2. Perangsang pendengaran yang terbaik ialah suara ibu. Sejak dalam kandungan lagi ibu telah merangsang bayi dengan pelbagai cara. Setelah lahir bayi sudah mengenali suara ibu dan sudah familiar dengan nada suara ibu.

Sekarang ini ibu bukan sahaja berbual-bual dengan bayi secara langsung malah bila penglihatan bayi mula jadi terang ia boleh mengikuti percakapan,  nyanyian atau dendangan berserta gerak geri muka dan tangan ibu. Aktiviti ini bila disertai sentuhan ibu pada kulit tubuh dan anggota bayi  akan menjadi rangsangan tiga serangkai dan serentak iaitu pendengaran, penglihatan dan sentuhan. 

3. Bunyi-bunyian daripada musical box atau kotak muzim, rakaman bunyi burung atau lain-lain haiwan,   lagu kanak-kanak, CD bacaan Quran, selawat dan nasyid juga baik dimainkan berdekatan dengan bayi. Ibu boleh mengetahui reaksi bayi terhadap bunyi-bunyian tersebut samada suka atau tidak.

 

  • Bunyi ketukan 2 kayu beri bunyi yang konsisten frekuensinya. Digunakan untuk bulan pertama...

  • Bunyi picitan hon juga memberikan bunyian frekuensi tinggi. Digunakan untuk bayi berumur 2 - 3 bulan...

Rangsang Penglihatan

Ketika lahir penglihatan bayi masih kabur tapi boleh memberikan reaksi terhadap lampu suluh dengan mengucupkan pupil atau anak mata. Dengan perlahan-lahan bayi boleh fokus pada benda dalam jarak 8 - 10 inci. Pada hujung bulan ia mula boleh mengikuti benda bergerak - visual tracking. Daya penglihatan terus meningkat dan pada umur 4-5 bulan ia boleh fokus pada benda-benda yang jauh. Seterusnya bayi boleh menukar arah memandang untuk memberikan fokus kepada benda yang menarik pandangan dan perhatiannya. Perkembangan intelek dan pembelajaran bermula dengan penglihatan jelas dan visual tracking.

Dalam bulan pertama penglihatan tertumpu pada warna hitam putih. Program parenting Jabal Nur mencadangkan rangsang anak mata (pupils) dengan  lampu suluh (cahaya kekuningan dengan intensiti cahaya sederhana) dalam bilik gelap dengan mata ditutup sebelah. Misalnya mata kiri ditutup bila suluh mata kanan (suluhan pantas sebanyak 10 kali). Seterusnya digilirkan dengan menyuluh mata kiri sambil mata kanan ditutup. Sesi suluhan boleh diulang0ulang bila bayi tidak tidur.

Selepas umur sebulan kita mula gunakan flash card berwarna hitam putih yang mengandungi gambar-gambar haiwan, angka bilangan dan huruf. Bila tunjuk flash card disebut juga nama benda dalam gambar, nombor bilangan atau huruf dengan nada suara yang boleh didengar oleh bayi. Ini juga perlu diulang-ulang.

Bulan kedua umur bayi stimulasi penglihatan boleh dimulakan dengan benda-benda yang berwarna-warni. Benda-benda mainan berwarna boleh digantungkan atas tilam tidurnya dan boleh digerakkan sambil  mengeluarkan bunyi-bunyian yang boleh menarik perhatian. 

Bayi suka diagah dan akan melihat muka ibunya ketika ibu bercakap, bernyanyi atau membuat gerak geri tangan dan jari-jemari. Bayi juga suka mukanya dihadapkan di hadapan cermin. 

 

Video untuk Rangsang Penglihatan Bayi

Berbagai jenis imej untuk merangsang penglihatan bayi. Sila mainkan dengan iPad dan letak di hadapan bayi. Sangat merangsang serta menenangkan bayi walaupun sedang menangis...

Rangsang Sentuhan

Mengurut bayi 

Amalan mengurut bayi memang sudah menjadi adat dalam kalangan setengah bangsa seperti orang India. Dalam kalangan orang Melayu amalan ini tidak konsisten - mak bidan bila datang mengurut ibu lepas bersalin seringkali juga mengurut bayi. Sepatutnya ia dijadikan amalan rutin dan dilakukan oleh ibunya sendiri. Banyak khasiat dan kebaikan amalan mengurut bayi sejak daripada lahir. Malangnya kebanyakan ibu tidak mahir ataupun takut-takut untuk melakukanya. Berikut adalah manfaat mengurut bayi,

1. Dengan sentuhan mesra dan penuh kasih sayang amalan mengurut bayi merapatkan hubungan bayi dengan ibu bapa.

2. Sentuhan waktu mengurut merangsang aktiviti otak khususnya meningkatkan kecerdasan dan kekhusyukan/konsentrasi/attentiveness.

3. Sentuhan mempercepatkan proses myelination jalur-jalur axon pada dendrites dalam otak dan mempercepatkan perkembangan pertuturan bahasa.

4. Mengurut bayi meningkatkan aliran darah kepada semua organ dan bahagian tubuh badan. Dengan itu ia juga meningkatkan bekalan oksigen dan makanan khusunya kepada sel-sel otak dan seterusnya memudahkan bayi dalam aktiviti pembelajaran.

5. Mengurut bayi meningkatkan perkembangan neuro dan tonus otot-otot. Ia  juga meningkatkan hormon-hormon yang baik sambul mengurangkan hormon cortisol (yang menyebabkan stres).

6. Mengurut bayi melegakan kembung perut, sakit colic dan sembelit pada bayi serta melenakan tidur.

 

Bagaiman cara mengurut? 

Waktu terbaik ialah selepas mandi pagi dan petang bagi mengurut bayi. Letakkan bayi atas pangkuan atau lantai (mula-mula ibu atau bapa mungkin merasa takut - perlu cekal) yang dialas  dengan tikar vinyl dan lampin atau tuala kering. Muka bayi ke atas menghadap muka ibu, agah atau menyanyi untuk menghiburkannya. Tuang sedikit minyak kelapa dara atau virgin olive oil, lumurkan minyak pada  tapak tangan kanan ibu.

Mulakan urutan pada perut di kawasan pusat, usap tangan ibu yang berminyak dengan lemah lembut pada kulit bayi, sambil bernyanyi atau bercakap-cakap ke arah dada bayi dan kedua bahu bayi hingga ke lengan tangan.

Kemudian dengan lumuran minyak baru pada tangan ibu sapukan dan urut ke arah bawah perut kedua peha dan kaki. Pusingkan bayi perlahan-lahan untuk ditiarapkan dengan muka menghadap ke bawah, sapu dan urut sebelah belakang dari kepala leher dan ke arah bawah sampai ke tumit kaki. Sila lihat gambar bawah.

 

Merangsang Baby Iman

Baby Iman telah mengikuti program Bina Minda Jabal Nur sejak lahir. Perkembangannya sedang dipantau. Menunjukkan perkembangan minda yang sangat menggalakkan...

Hani Menunjukkan Perkembangan Terbaik

Hani berumur 7 bulan merupakan peserta bayi terulung. Telah menjalani kaedah-kaedah rangsangan Jabal Nur. Perkembangan minda, fisikal, emosi dan sosial sangat memberangsangkan...