D&C Hydrotubation Meningkatkan Peluang Hamil

 




Orang mengaitkan cuci rahim atau D&C hanya untuk tujuan merawat keguguran. Sebenarnya D&C ada banyak peranan lain seperti :

1. Mengatasi perdarahan rahim, biasa berlaku pada wanita umur empat puluhan, yang berpenyakit fibroid atau adenomyosis, ada gangguan hormon.

2. Buat diagnosis untuk mengesahkan kanser rahim atau lainnya.

3. Untuk merawat kemandulan dan  sukar hamil.

4, Lekat uri lepas bersalin.

Biasanya selepas menjalani X-ray HSG, lebih kurang 30% akan hamil dalam tempoh 3-6 bulan jika benih suami normal dan saluran fallopian terbuka lepas HSG. Jika masih belum hamil lagi dalam tempoh itu saya cadangkan  prosedur D&C dan hydrotubation. Ia dilakukan lepas haid dan perlu diberi bius umum (pesakit tidur)

 

Bagaimana D&C dan hydrotubation boleh meningkatkan peluang hamil?

1. Dalam prosedur ini saluran pintu rahim perlu dibesarkan (dilatation). Ini akan memudahkan benih suami masuk ke dalam rahim.

2. Dinding rahim atau lapisan endometrium perlu dikikis dan dibersihkan. Biasanya ada berlaku penebalan lapisan ini sebab ia tidak luruh kesemuanya ketika haid. Lama-lama ia bertimbun/menebal menjadikan 'endometrial hyperplasia' atau 'endometrial polyp' yang mungkin menyukarkan embrio melekat/implant dalam lapisan endometrium. Lepas D&C, lapisan baru akan dibentuk dan ini mungkin memudahkan proses implantation embryo.

3. Dalam prosedur ini juga saluran fallopian akan diperbesarkan. Ini memudahkan perjalanan benih suami bergerak menuju ke muncung saluran fallopian di mana percantuman benih dan telur/ovum berlaku.

Prosedur ini dijalankan sebagai 'day surgery', hanya perlu masuk day surgical center separuh hari sahaja. Pesakit datang pagi dengan berpuasa sejak tengah malam. Prosedur dilakukan dengan bius am (pesakit tidur) dan 2-3 selepas itu ia boleh pulang.

Telefon staf klinik sejurus selepas habis haid. Prosedur ini biasanya dilakukan 2- 3 hari lepas habis haid tetapi sebelum subur.

Tiada pantang larang khas selepas itu, hanya tidak boleh mengadakan hubungan dengan suami selama seminggu. Makanan mengikut sajian biasa dan vitamin suplemen perlu diteruskan.

 

Bagaimana peluang hamil?

Purata antara 20-30% pesakit yang menjalani prosedur ini akan hamil dalam tempoh 3-6 bulan. Kos prosedur D&C dan Hydrotubation termasuk bius RM 1500.

Baik Pulih Saluran Fallopian Dengan Bedah Laparoscopy

Saluran fallopian yang tersumbat pada hujung muncungnya - terminal hydrosalpinx. Boleh dibaik pulih melalui bedah laparoscopy. Peluang berjaya untuk hamil 50%.

Pesakit ini telah mengalami masalah kemandulan selama 5 tahun. Setelah menjalani ujian X-ray HSG didapati kedua-dua saluran fallopian tersumbat pada muncungnya. Saya lakukan bedah Laparoscopy untuk baik pulih saluran. Semoga beliau berjaya hamil secara spontan.

Berdoa dan Bertawakal

Setelah menjalani ujian-ujian kesuburan,  pembedahan laparoscopy atau lain-lain untuk merawat penyakit-penyakit seperti endometriosis, fibroid, PCOS dan lain-lain, pesakit perlu bersabar. Berikan masa untuk pemulihan (healing) organ-organ peranakan. Walaupun saya nasihatkan boleh lakukan hubungan kelamin 2 minggu  selepas bedah laparoscopy atau 4 minggu lepas bedah minilaparotomy, jangan terlalu berharap sangat untuk hamil dengan cepat. Memang ada yang terus hamil atau hamil dalam jangka waktu antara 3-6 bulan selepas bedah. Namun banyak juga yang mengambil masa yang lama iaitu setahun atau lebih lepas bedah untuk hamil.

Selepas bedah sangat penting untuk mematuhi panduan pemakanan yang berkhasiat dan berzat. Lakukan senaman dan amalkan kaedah-kaedah relaksasi, seperti banyakkan zikir, selawat, baca Quran, solat, berpuasa dan bersedekah. Boleh juga amalkan Yoga, Taichi atau silat sebagai satu kaedah senaman dan relaksasi. Banyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah, yang Maha Berkuasa dan Pencipta segala-galanya.

Jangan terlalu tergesa-gesa kerana tidak sabar untuk menjalankan kaedah-kaedah seperti IUI atau IVF. Ada pula yang dapatkan nasihat daripada kawan-kawan untuk makan berbagai jenis suplemen atau pil subur, clomid tanpa berbincang dengan pakar yang telah melakukan pembedahan ke atasnya. Perbuatan demikian kadangkala boleh mempercepatkan ketumbuhan semula penyakit-penyakit seperti endometriosis, fibroid ovarian cyst  atau lainnya.

  • Khasiat jus keledek merah...

  • Khasiat jus keledek merah, nenas dan halia...

  • Khasiat jus berbagai buahan...

PCOS Sukar Dirawat

Polycystic ovary syndrome (PCOS)




Penyakit ini menjadi salah satu punca utama kemandulan...

 

Mengapa sukar merawat PCOS?

1. Salah satu punca penyakit PCOS adalah cacat baka/genetik – gen yang mengawal hormon subur adalah cacat sejak lahir. Tidak ada rawatan untuk membetulkan kecacatan genetik ini. Kita bergantung pada usaha mengubah faktor-faktor lain sahaja, ini pun banyak bergantung kepada azam dan kesungguhan pesakit PCOS.

2. Kegemukan/obesiti adalah faktor kedua penting dalam kejadian PCOS. PCOS sering dikaitkan dengan penyakit diabetes dalam keluarga. Begitu juga obesiti dikaitkan dengan diabetes dan baka. Usaha untuk mengurangkan berat badan memang sangat sukar, mudah untuk naik berat badan. Tapi hendak turun memang perlu azam dan ketabahan.

Penurunan berat badan merupakan rawatan yang terpenting bagi meningkatkan kesuburan dalam kalangan pesakit PCOS. Cara-cara yang paling berkesan ialah dengan DIET, iaitu mengurangkan makanan karbohidrat dan gula, dan senaman untuk membakar lebihan gula dan lemak dalam badan. Namun saya dapati dua perkara tersebut amat sukar diamalkan oleh penghidap-penghidap PCOS. Jika mereka bersungguh-sungguh inginkan zuriat, mereka perlu kuatkan azam dan kecekalan untuk berkerja keras demi mencapai matlamat. Pengalaman saya lebih 40 tahun menunjukkan para penghidap PCOS lebih 90% gagal menurunkan berat badan.

Mereka hanya bergantung kepada ubat-ubat mereka dengan harapan mereka boleh hamil tanpa usaha. Sangat penting sikap ini perlu diubah.

Program kuruskan badan

3. Tiada ubat khusus untuk PCOS. Ini kerana ia adalah rangkaian berbagai masalah termasuk, rintangan insulin (insulin resistance), ketidakseimbangan hormon antara FSH/LH, hormon testosteron tinggi, estrogen tinggi, progesteron rendah. Akhirnya sel-sel benih/telur tidak dapat dimatangkan.

Seringkali ubat subur clomid dengan dos tertinggi diperlukan (200-250 mg). Dan jika gagal ubat gonadotrophin secara suntikan diperlukan dan ubat ini sangat mahal harganya, sedangkan kadar kejayaan hanya 30% sahaja. 

4. Kegunaan ubat suplemen boleh membantu untuk mengurangkan berat badan, kurangkan rintangan insulin seterusnya mengurangkan gula dalam badan, mengurangkan hormon testosteron. Saya sering beri pesakit ubat adipex, metformin, dan saw palmetto. Perlu diingat, pesakit PCOS tidak boleh bergantung kepada ubat-ubat tersebut terlalu lama, mungkin antara 3-6 bulan sahaja.

5. Saya nasihatkan makan banyak buah-buahan dan sayuran serta ulam-ulam. Makanan yang banyak mengadungi bahan pengawet, perisa dan pemanis perlu dijauhkan termasuk fast food dan junk food. Segala kebaikan seperti vitamin, antioksidan, logam dan lain-lain terkandung dalam buah, sayur dan ulam.

6. Jangan mudah putus asa, teruskan usaha sampai hamil. Perubahan dalam cara gaya hidup sangat penting terutama tabiat makan dan pilihan jenis makanan yang berzat dan berkhasiat. Pilih makanan yang segar/fresh tanpa diproses, tanpa pengawet, perisa dan pemanis. Lakukan gerak tubuh/exercise, mungkin buat jogging 30 minit sehari. Lakukan senaman pernafasan/Yoga untuk relaksasi, hilangkan stres dengan membaca Quran dan berzikir. 

7. Cuba buat IUI apabila ada telur matang selepas makan clomid dos tinggi. Ini mungkin boleh menambah peluang untuk hamil. Biasanya jika ada pematangan telur kehamilan akan berlaku secara spontan tanpa memerlukan IUI.

8. Laparoscopic ovarian drilling – iaitu satu kaedah pembedahan untuk menyuburkan ovari. Perlu dilakukan jika tiada pematangan telur walaupun dengan clomid dos tinggi. Rawatan ini dapat  menurunkan tahap hormon testosteron yang sering menganggu pematangan telur.

Selepas ovarian drilling amalan pemakanan yang berzat dan berkhasiat amat penting. Ubat subur clomid dos tinggi masih diteruskan selama 3 pusingan haid. Peluang hamil selepas rawatan ini adalah 40-50 %.

9. Bayi tabung uji atau IVF mungkin boleh dicuba sebagai langkah terakhir. Itu pun kalau berjaya merangsang pematangan telur.

Gagal Mengadakan Hubungan Kelamin

Kaedah mengatasi ketakutan (phobia)

 

Ramai juga pasangan kelamin tidak berjaya mengadakan hubungan kelamin/seks walaupun sudah bertahun kahwin, Yang paling lama dalam rekod kita ialah 9 tahun kahwin, suami masih gagal menembusi selaput dara yang masih kekal dan tidak pecah lagi.

 

Mengapa situasi begini berlaku?

Biasanya disebabkan oleh dua faktor. Pertama ada kalangan wanita yang selaput daranya terlalu tebal dan saluran faraj sempit dan ini menyukarkan zakar  suami masuk. Faktor kedua, ialah ketakutan atau fobia terhadap hubungan kelamin//seks pada pihak wanita. Timbulnya ketakutan ini mungkin disebabkan cerita-cerita ngeri atau menakutkan daripada pengalaman kawan-kawan wanita lain. Mungkin juga sebab peristiwa lampau seperti percubaan merogol ke atasnya ketika kecil.

Orang Melayu mempunyai banyak kepercayaan tentang masalah ini. Ada yang percaya telah disihir atau 'dibuat' oleh bekas tunangnya atau orang lain yang ingin mengahwininya. Sama ada ini benar atau tidak, wallahu a'lam.  

 

Kaedah mengatasi stres

 

Biasanya saya gunakan dua kaedah rawatan untuk mengatasi masalah ini. Di samping mengajar kaedah-kaedah mengatasi fobia dan stres, saya juga buat pembedahan kecil bertujuan untuk meluaskan pintu faraj - iaitu satu pembedahan yang digelar Fenton's operation. Pembedahan ini boleh dilakukan secara day surgery. Ia biasanya memerlukan tempoh sebulan untuk luka sembuh dan pulih seperti sediakala. Selepas itu saya ajarkan teknik-teknik hubungan kelamin kepada pasangan suami isteri di samping mengurangkan fobia.

Tiada Penetasan Telur

 
 
Proses Ovulasi atau Pematangan Telur dalam Ovari
 

 
Gambar Ovulasi
 
 
 

 
 

Punca Telur Gagal Matang

Tanda utama tiada ovulasi ialah kitaran haid tidak teratur, haid datang 2-3 bulan sekali atau lebih.

1. Polycystic ovary atau PCOS adalah punca utama telur gagal matang dan tiada penetasan/ovulasi

2. Kegemukan/obesiti. Lihat Free Weight Loss Program

3. Hormon prolactin tinggi, tanda sedikit cecair susu keluar walaupun tidak menyusukan, kadangkala berlaku pada pesakit endometriosis.

4. Penyakit thyroid

5. Stres/tekanan fizikal dan mental. Lihat Cara atasi stress

6. Terlalu kurus

7. Umur ibu meningkat, 40 tahun ke atas.

8. Fungsi ovari rosak awal (premature ovarian failure)

Ubah Cara Gaya Hidup Untuk Subur

Memang benar setengah penyakit yang mengganggu kesuburan adalah berpunca daripada faktor baka dan keturunan. Tetapi sebahagian besar faktor penyebab kemandulan adalah berpunca daripada tabiat dan cara gaya hidup yang tidak sihat dan tidak sesuai. Akibatnya seseorang menjadi gemuk/obes, tension dan stres, ketakutan/ fobia dan pelbagai gejala buruk yang menyebabkan mandul dan mudah gugur bila hamil.

Memang sukar untuk mengubah cara gaya hidup seseorang kerana sesuatu tabiat kian menjadi sebati dengan kehidupan. Walau demikian perubahan sangat diperlukan demi mencapai tujuan.


1. Perlu rajin bersolat, bersedekah, puasa, baca Quran, berzikir dan taat mengerjakan perintah Allah serta menjauhi laranganNya. Rapatkan silaturrahim antara ahli keluarga dan rakan-rakan juga dalam kalangan umat Islam sejagat.

2. Ubah tabiat makan dan ikuti segala panduan Rasulullah. Makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Baca doa sebelum dan selepas habis makan. Mulakan dengan memakan buah-buahan dahulu, makan salad dan sup, selepas itu baru makan sajian utama. Kunyah makanan banyak kali iaitu antara 15-20 kunyahan bagi setiap suap nasi dengan lauk, sehingga jadi betul-betul lumat baru ditelan. Cuba perlahankan proses makan untuk selama 20 minit bagi satu pinggan sajian. 

Kurus badan khususnya yang gemuk/obes dan mengidap PCOS. Ikuti panduan ini.

3. Buat senaman selama 30 minit sehari. Tidak kira apa jenis senaman asalkan dapat digerakkan semua otot badan : berjalan kaki, jogging, treadmill, menunggang basikal, berkebun, membasuh kereta atau bersihkan rumah, asalkan anda berpeluh dan berasa segar fizikal dan mental. Jadikan ini satu tabiat atau budaya hidup seharian. Ia perlu azam kuat dan kesungguhan, mungkin petlu memaksa diri untuk bergerak.

4. Dapatkan kerehatan yang cukup dengan tidur awal dan bangun awal. Kalau bangun sebelum Subuh boleh solat Tahajud 2 rekaat dan Witir 3 rakaat. Lebih baik lagi jika solat Subuh berjemaah di masjid. Baca Quran beberapa muka surat dan dapatkan huraian makna ayat-ayat. Biasakan berzikir dan berselawat ke atas rasul bila memandu kereta malah pada bila-bila masa dan dalam apa situasi atau sedang bekerja.

5. Amalkan senaman pernafasan selama 5-10 minit bila terasa penat atau tertekan waktu kerja di pejabat atau di tempat lain. Duduk atau berdiri dan sedut nafas sedalam-dalam melalui hidung dan kemudian hembus keluar nafas perlahan-perlahan melalui mulut sehingga habis. Ulang cara pernafasan ini beberapa kali, lebih baik lagi bila sedut nafas baca 'Subhanallah' dan bila hembus keluar baca ' Astaghfirullah'. Insha Allah anda akan rasa tenang dan relaks.

6. Cuba ketawa dan tunjukkan keriangan sentiasa. Cuba hubungi keluarga dan kawan-kawan lalu berbual tentang perkara-perkara yang dapat menyenangkan dan menghiburkan hati anda.

7. Amalkan sikap bermurah hati - salam dan senyuman itu sedekah. Beri sedekah mengikut kemampuan anda kepada yang memerlukan. Kita memberi Allah akan memulangkan balik dengan apa yang kita kehendaki melalui doa-doa kita.

Hamil Selepas Bedah dan Buang 14 Ketul Fibroid

Pesakit berumur 33 tahun, telah mempunyai 2 orang anak, yang kecil berumur 5 tahun. Disahkan ada fibroid dalam rahim dan telah cuba hamil selama 3 tahun tapi gagal.

Pada 5 Mei 2013 saya bedah buang fibroid. terkejut juga ada 14 ketul fibroid - 7 besar dan 7 kecil-kecil. Pemulihan beliau berjalan lancar. Beliau mematuhi arahan saya tentang pemakanan untuk subur dan lepas bedah, memakan obimin dan Vit E dan C. Beliau amalkan senaman  dan cara gaya sihat dan cukup rehat.

Alhamdulillah beliau hamil secara spontan tanpa ubat-ubatan subur. Sekarang kehamilan sudah 18 minggu  dan dikenalpasti sebagai anak lelaki. Ini berita baik kerana dua anak sebelum ini adalah perempuan.

Apa punca fibroid?

 Kehamilan

Samada nak Bedah Baik Pulih Fallopian Tube atau Buat IVF

Hari Khamis 29 Mei 2014.

Dewasa ini saya dapati semakin ramai wanita yang sukar hamil menghidap masalah saluran fallopian tersumbat (blocked tubes). Puncanya ialah jangkitan kuman yang tidak disedari, tapi sering berlaku lepas gugur atau bersalin, pakai alat IUCD, lepas bedah apendiks. Ia juga boleh berlaku akibat kesan sampingan penyakit endometriosis, fibroid, ovarian cyst dan selepas pembedahan cesar.

Sebaiknya buat X-ray HSG untuk mengetahui jenis dan lokasi kesumbatan pada saluran fallopian. Memilih antara 2 iaitu bedah baik pulih atau IVF agak sukar juga.

Saya sering cadangkan kepada para pesakit saya untuk bedah baik pulih saluran fallopian dengan kaedah laparoscopy. Laparoscopy adalah kaedah bedah minima yang boleh dilakukan secara day surgery iaitu boleh balik pada hari yang sama.

Kejayaan baik pulih boleh dikatakan 50/50. Dan jika ia berjaya meghasilkan kehamilan, insya Allah ia  berpeluang untuk hamil berulang kali secara spontan. Kosnya juga sederhana - iaitu RM7K di klinik saya. 

Di samping itu jika ada penyakit lain seperti endometriosis,  cyst ovari atau adhesion ketika laparoscopy penyakit-penyakit tersebut boleh dirawat serentak.

Kos IVF sangat tinggi antara RM10-20K bergantung pada mana dan pakar mana yang melakukan. Keseluruhnya kejayaan hamil dalam lingkungan 10-40%. Jika gagal selepas berbelanja banyak ia boleh timbulkan trauma pada mental dan emosi. Harapan hamil setiap pesakit yang menjalani rawatan IVF adalah sangat tinggi dan amat sukar menerima kegagalan.

 Tingkatan kesuburan

Klinik Pakar Kesuburan

 

Buat temu janji

 

Yayasan akan terus bekerjasama dengan Klinik Dr Hamid Arshat di Plaza Damasara, Bukit Damansara Kuala Lumpur. Bidang perkhidmatan ialah :

1  Rawatan kesuburan dan kemandulan dengan kemudahan untuk pemeriksaan dan ujian-ujian kesuburan, rawatan dengan ubat-ubat subur, pelbagai pembedahan untuk subur terutama bedah laparoscopy, suntikan benih suami IUI , IVF (di Hospital Pantai, Bangsar) dan lain-lain kaedah rawatan kesuburan.

2. Kesihatan wanita – masalah-masalah gangguan haid, tumbuhan rahim seperti fibroid, ovarian cyst, endometriosis dan lain-lain.

3. Bekalan pelbagai multivitamin, suplemen dan antioksidan untuk kesuburan, kesihatan dan meningkatkan imuniti serta ketahanan badan.

Kaunseling tentang pemakanan yang seimbang dan kawalan berat badan juga diberikan kepada pesakit.

 

Untuk temujanji sila hubungi

Tel  - 03 20941115. 03 20945262

Fax - 03 20949402 

Pembedahan Laparoscopy

Pembedahan kecil ini merupakan satu kaedah rawatan yang amat berkesan dalam merawat masalah kesuburan wanita khususnya jika ada sakit senggugut yang mungkin disebabkan oleh endometriosis. Biasanya selepas pesakit dibius dan sudah tidur, tatacara utama ialah D&C. Ini penting untuk meluaskan pintu rahim dan mencuci dinding rahim daripada lapisan endometrium yang tebal dan tumbuh polyps. Seterusnya saya buat hydrotubation untuk basuh dan luaskan saluran fallopian.

Untuk laparoscopy biasanya 3 tebukan dibuat pada perut untuk membolehkan teropong laparoscope dan lain-lain peralatan dimasukkan untuk melakukan berbagai prosedur bedah seperti buang cyst ovari, fibroid, laser endometriosis, buka saluran fallopian, adhesion lysis, ventrosuspension dan lain-lain. 

Pembedahan Laparoscopy buang Endometriosis

Add video text